Keputusan: 
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-69 yang bersidang pada 13-16 Jun 2005 telah membincangkan Hukum Pelupusan Buku Teks Pendidikan Islam Secara Kitar Semula (Recycle). Muzakarah telah memutuskan bahawa Hukum Pelupusan Buku Teks Pendidikan Islam Secara Kitar Semula (Recycle) adalah harus dengan syarat-syarat berikut:
  1. Kerja-kerja pengkitaran semula buku-buku teks Pendidikan Islam seelok-eloknya dilakukan oleh syarikat-syarikat yang dimiliki oleh orang Islam.
     
  2. Pekerja yang terlibat dalam proses pengkitaran semula hendaklah terdiri daripada orang Islam.
     
  3. Kertas dan buku teks Pendidikan Islam yang dikitar semula hendaklah tidak digunakan untuk membuat bahan yang tidak sesuai seperti kertas tandas dan sebagainya.
     
  4. Bahan-bahan kimia yang digunakan dalam proses pengkitaran semula hendaklah tidak mengandungi bahan najis
sumber : http://www.e-fatwa.gov.my/


Kitar semula ayat-ayat al-Qur'an

Soalan
Saya sekeluarga lazim mengitar semula akhbar dan buku lama. Soalan saya, bolehkah saya kitar semula akhbar dan buku yang mengandungi teks arab al-Qur’an? Atau adakah ia perlu diasingkan lalu dibakar sebagaimana mushaf al-Qur’an?
Nena, Bandar Baru Selayang, Selangor.
Jawapan:
Al-Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Tibyan Fi Adab Hamalat al-Qur’an telah menyatakan kesepakatan ilmuan Islam tentang kewajipan menjaga dan menghormati al-Qur’an. Beliau menambah: “Seandainya seorang muslim membuang mushaf al-Qur’an ke dalam kotoran, kami berlindung kepada Allah dari sedemikian, maka orang yang membuang itu menjadi kafir.” Kita hendaklah juga menjaga kemuliaan dan kehormatan ayat-ayat al-Qur’an yang tercatit di atas selain mushaf. Mengitar semula kertas adalah usaha yang terpuji tetapi dibimbangi dalam proses itu berlaku penghinaan terhadap ayat al-Qur’an. Salah satu pilihan yang ada ialah menggunakan mesin “paper shredder” sebelum menghantarnya ke pusat kitaran semula. Mesin ini memotong kertas akhbar atau buku menjadi cebisan-cebisan jalur yang panjang. Melalui potongan ini, tiada lagi ayat al-Qur’an yang lengkap tercatit di atas kertas melainkan huruf-huruf bahasa Arab. Mesin ini ada dijual di kedai-kedai yang menjual barangan pejabat dan alat tulis.

sumber : http://hafizfirdaus.com/content/view/246/90/